Kurnia peribadi bantu ringankan bebanan golongan tertentu





Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hernie Suliana Haji Othman





BELAIT, Isnin, 9 Mac. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini sekali lagi telah berkenan mengurniakan kurnia peribadi baginda sempena Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah / 2026 Masihi kepada golongan-golongan tertentu yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam.


Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ini adalah merupakan kali ke-17 diadakan bertujuan bagi membantu meringankan bebanan golongan-golongan yang tertentu khususnya dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.


Pengagihan kurnia peribadi pada kali ini dimulakan dengan pengagihan kurnia peribadi yang disempurnakan oleh paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku wakil-wakil peribadi baginda secara serentak di keempat-empat daerah dan diikuti dengan pengagihan kurnia di beberapa pusat-pusat pengagihan yang telah ditetapkan.


Berangkat selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyempurnakan Majlis Pengurniaan Kurnia Peribadi baginda di Daerah Belait ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.


Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik di Pusat Insani, Seria dijunjung oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin. Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyampaikan Kurnia Peribadi Kebawah DYMM kepada seramai 1,000 penerima bagi Daerah Belait.


Pengurniaan Kurnia Peribadi Kebawah DYMM oleh paduka-paduka anakanda baginda di keempat-empat daerah hari ini menandakan bermulanya pengagihan Kurnia-kurnia Peribadi Kebawah DYMM, diikuti dengan pengurniaan di pusat-pusat pengagihan yang telah ditetapkan dari 10 hingga 11 Mac 2026 dan bagi Daerah Belait pengagihan kurnia peribadi diadakan di Pusat Insani, Seria.


Pengurniaan ini, jelas memperlihatkan keprihatinan Kebawah DYMM yang berterusan terhadap memeduli kesejahteraan dan hal ehwal golongan-golongan tertentu di negara ini lebih-lebih lagi dalam beberapa hari sahaja lagi negara akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Selain itu, para penerima juga menerima buah tangan sebagai tanda prihatin baginda serta berkongsi kegembiraan bersama.


06 (6).jpg


07 (4).jpg


08 (3).jpg


09.jpg




Close